Teks : Normah Kassim
Assalamualaikum.
Adakah anda biasa dengar mengenai "HomeSchool" atau dalam bahasa melayunya belajar dari rumah?. "HomeSchool" sudah dipraktikkan oleh sesetengah individu dan kebelakangan ini menjadi sebutan oleh para ibu bapa terutamanya yang mengamalkan hidup secara alami.
"HomeSchool" memberi banyak kebaikan kerana yang mengajarnya adalah ibu atau bapa kepada anak itu sendiri. Tidak perlu menunggu sehingga cukup umur untuk masuk ke sekolah dan diajar oleh cikgu. Ibu bapa harus memainkan peranan penting dalam mendidik anak dan bukan mengharapkan kepada guru semata-mata. Ini kerana, anak-anak akan lebih cenderung mencontohi ibu bapa berbanding orang luar.
Saya mula mengajar Fatih pada usia 3 bulan dengan menggunakan kad imbas dan "soft box" yang mempunyai gambar dan warna. Pada usia 4 bulan, Fatih sudah mampu mengenal warna dan gambar-gambar yg di ajar. Ini menunjukkan kaedah ini terbukti berkesan dan ibu bapa boleh mula memberi didikan seawal usia 3 bulan.
Matlamat utama saya dan suami adalah untuk menjadikan anak kami seorang yang menghafaz al-quran dan berpegang teguh pada agama. Selain itu, Fatih harus menguasai ilmu mengenai tubuh badan manusia. Fatih juga akan diajar seni mempertahankan diri dan akan didik untuk hidup secara holistik. Sesudah itu, bergantunglah pada Fatih untuk memilih bidang yang diminati.
Jadi, untuk merialisasikan objektif ini, fatih harus dididik dan membesar dalam persekitaran sedemikian. Ini supaya apa yang diamalkan tidak menjadi satu paksaan tetapi sudah menjadi satu cara hidup.
Namun begitu, rancangan saya terbantut setelah mula bekerja. Tiada masa yang mencukupi untuk menyusun jadual dan rutin belajar. Lebih rumit apabila Fatih mempunyai rutin tersendiri daripada taska. Sukar untuk saya membuat rutin baru untuk Fatih.
30 Dec 2013, saya memulakan semula program "homeSchool" saya bersama fatih setelah mengambil 3 minggu untuk menyesuaikan diri dan mengolah rutin Fatih. Jadual harian Fatih adalah seperti dibawah :
7 am - Selepas bangun tidur, mendengarkan Juz Amma (1 jam lebih) sambil sarapan pagi, main-main, main dengan ikan dalam akuarium sambil bagi makan ikan.
9 am - Mata dah mengantuk tapi tak mahu tidur lagi. Jadi saya pasangkan "BBC Natural World" atau "National Geographic".
9:45 am - Tidur
12:30 pm - Makan tengah hari
2:30 pm - Kelas Iqra'
4 pm - Tidur petang
6:30 pm - Mengedarkan Juz Amma sambil rehat-rehat menunggu abah-nya pulang.
8pm - Makan malam
9:30 pm - Mendengar Qasidah dan Tidur
Saya memang tidak mahu dedahkan dengan kartun. Kajian menunjukkan kanak-kanak yang tidak dibesarkan dengan banyak menonton TV lebih pandai berbanding sebaliknya. Terdapat ibu bapa yang menggunakan TV sebagai bahan untuk mendiamkan anak-anak. Dengan menonton, anak-anak leka dan tidak mengganggu ibu bapa. Namun tanpa disedari, ibu bapa sudah merosakkan daya fikir anak-anak. Ini kerana, anak-anak yang kuat menonton kurang meneroka dunia luar. Memang dia akan mengganggu dan sentiasa ingin mendampingi kita. Ini kerana sifatnya yang sentiasa ingin meneroka sesuatu yang baru. Tidak mengapa, layan lah anak itu kerana dia hanya membesar sekali sahaja dalam seumur hidup. Apabila dia besar, anda pula yang dahagakan layanan daripadanya nanti.
Semoga kita semua mendapan manfaat. Insyaallah.
No comments:
Post a Comment