Teks : Normah Kassim
Foto: koleksi peribadi
Foto: koleksi peribadi
Bismillah.
Alhamdulillah setelah beberapa bulan tidak bekerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Tumpuan diberi seratus peratus pada si kecil yang kini berusia hampir 11 bulan. Begitu banyak perubahan dan peningkatan drastik hasil dari didikan dan pengurusan harian air tangan ibu. Fatih semakin membesar, makan pun banyak. Boleh kata setiap waktu nak makan berbanding sebelum ini memang susah sangat nak buka mulut.
Dari segi pertuturan, mulut macam murai dan sangat mudah untuk faham apa yang diperkatakan oleh orang-orang sekeliling. Tindak balas juga pantas. Baru saja kita habis berkata-kata, terus disahutnya dengan jawapan atau mengulang semula perkataan. Walaupun belum boleh bertutur sepenuhnya, bahasa isyarat digunakan ataupun diheretnya kita kepada apa yg dihajatinya untuk membuat kita faham.
Malam tadi nek mie buka tv cerita karak. Fatih terus menyorok belakang sofa sambil berkata "takut la..takut la". Dan terus merangkak laju ke arah saya yang ketika itu berada di dalam bilik. Terkejut neneknya mendengar Fatih bertutur sedemikian. Sebelum ini tak pernah pun saya mengajar erti takut. Saya kemudian mendukung Fatih keluar ke ruang tamu tapi dia enggan dan menunjuk ke arah bilik. Menyuruh saya bawa dia masuk bilik. Saya memujuk untuk duduk di ruang tamu dan bermain disana dengan memberitahu bahawa neneknya sudah tukar "channel". Fatih pun duduk dan bermain. Saya temankan dia. Setelah puas bermain, dia mengajak saya untuk bantu dia berjalan dengan memegang hujung jari saya dan bangun berjalan sambil melangkah ke arah yang di ingininya. Saya enggan bangun. Lalu dia menunjukkan amarahnya dengan menepuk-nepuk paha saya. "Ok..ok..ibu ikut atih..mana nak pegi..nah, pegang". Fatih pun memegang hujung jari saya seperti biasa untuk berjalan. Saya ingatkan seperti biasa, dia akan berjalan pusing-pusing rumah. Rupanya tidak. Terus Fatih berjalan menuju bilik dan terus ke tilamnya sambil menyebut "bummm". Perkataan yang biasa saya pakai untuk menyuruh Fatih baring atau tidur. Barulah saya faham rupanya nak ajak masuk bilik dan tidurkan dia. Patutla marah betul apabila saya enggan bangun tadi. Ketawa saya dan neneknya melihat macam-macam kerenah malam ni.
Perasaan saya sangat puas melihat perubahan drastik sebelum dan selepas menjaga anak dengan air tangan sediri. Rasa sedih bila mengenangkan bagaimana keaadan Fatih ketika di taska. Tiada komunikasi, hanya mengikut rutin yang disediakan oleh pihak taska. Sebagai manusia, kita mempunyai keperluannya yang tersendiri dan ianya sudah tentu berbeza. Begitu juga bayi, mereka memerlukan perhatian dan keperluan yang berbeza-beza. Sebagai ibu bapa, kita hanya perlu mendengar dan memahami bahasa yang di sampaikan oleh anak-anak.
Semoga perkongsian ini memberi semangat dan keyakinan kepada ibu dan suri rumah di luar sana untuk terus mengasuh dan mendidik. Tugas ibu dan suri rumah bukan lah kerjaya yang lekeh. Saya sangat kagum dengan suri rumah sepenuh masa yang mempunyai anak yang ramai.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment