Teks : Normah
Photo : Carian google
Assalamualaikum WBT.
Bismillahirahmanirrahim. Setelah hampir dua tahun lamanya tidak perbaharui blog, hari ini saya terpanggil untuk menulis semula. Sekian lama sibuk dengan pencarian hakikat kehidupan.
Setelah berhenti kerja, bermula lah episod mencari sumber pendapatan untuk menggantikan gaji yang diperoleh sebelum ini. Maklumlah, pelbagai kos dan komitmen yang perlu ditanggung setiap bulan.
Dalam fikiran hanya memikirkan bagaimana dan berusaha berbisnes dan tidak putus-putus berdoa memohon pada Allah SWT agar mengurniakan kejayaan dunia. Mohon agar bisnes maju, mohon agar dapat hidup mewah kaya raya, mohon agar hidup bahagia, inginkan rumah besar kereta mewah. Atas alasan perlukan wang berjuta untuk bahagiakan orang sekeliling.
Namun, dalam pencarian mengejar dunia, Allah SWT maha penyayang menemukan saya dengan NYA. Memberi ilmu yang bisa menenangkan seluruh pelusuk jiwa tanpa perlu sebab. DIA telah memberi ilmu untuk mengenal-NYA sang pencipta.
Apa visi kita? Apa misi kita? Semoga Allah mengampunkan dosa hambanya ini yang berfikiran dangkal, jumut dan pendek yang hanya nampak dunia semata. Buat amal ibadat juga untuk mendapat dunia. Tidakkah kita malu?. Hidup sekadar mengejar dunia yang ianya adalah hanya permainan dan hiburan sementara. Dunia tidak kekal, para ulama hebat bekata "Dunia ibarat seperti bangkai". Berpuluh-puluh rakaat, sujud sehari. Beribu selawat, zikir sehari. Untuk apa? Untuk mendapat kemewahan bangkai yang bakal ditinggalkan entah esok atau lusa dan dalam masa yang sama inginkan syurga ALLAH. Astaghfirullahalazim..tidak malukah kita? meminta seperti tuan.
Allah berfirman :
"Sesiapa yang hendakkan (kesenangan hidup) dunia, Kami akan segerakan kepadanya dalam dunia apa-apa yang Kami kehendaki, bagi sesiapa yang Kami kehendaki; kemudian Kami sediakan baginya neraka jahannam (di akhirat kelak), untuk membakarnya dalam keadaan yang hina lagi tersingkir daripada rahmat ALLAH. Dan sesiapa yang hendakkan akhirat, dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang dia beriman, maka mereka yang demikian keaadaannya, diberi pahala akan amal usahanya. Tiap-tiap golongan daripada kedua-duanya, golongan dunia dan golongan akhirat Kami hulurkan kepada mereka pemberian Tuhanmu (Wahai Muhammad), dan tiadalah pemberian Tuhanmu itu tersekat (dari sesiapapun). Lihatlah bagaimana Kami lebihkan sebahagian mereka atas sebahagian yang lain (dalam rezeki pemberiam Kami itu) dan sesungguhnya pemberian di akhirat lebih besar tingkat-tingkat perbezaannya dan lebih besar tambahan-tambahan kelebihannya." (Al-Isra' : 18-21)
Banyak ayat-ayat dalam al-Quran menyebut tentang rezeki yang telah ditetapkan ALLAH, tetapi kita masih risau, gundah gulana, resah, siang malam berfikir, merancang seolah-olah hidup ini di dalam gengaman tangan sendiri. Mahu mengubah nasib? Nasib apa yang kita hendak ubah? Tahukah kita apa nasib kita 5 minit dari sekarang? Tidak bukan? Hanya ALLAH maha mengetahui, hanya ALLAH maha perancang dan sebaik-baik perancang dan hidup kita tidak akan pernah terjadi seperti yang kita rancang tanpa izin-NYA. Jadi apa yang kita sibuk rancangkan itu? Saya memilih untuk hidup dalam perancangan ALLAH. Saya menyerah kalah kerana kita ini hamba-NYA yang hina. Tidak berdegup jantung tanpa izin-NYA. Jadi, saya mengambil keputusan untuk memahami apa itu perancangan ALLAH dan hidup dalam perancangannya. Berserah diri pada ALLAH semata dari hidup jahil mengejarkan kemewahan dunia.
"(Jika sudah diketahui yang demikian) maka adakah orang yang Kami janjikan kepadanya janji yang baik (balasan syurga) lalu dia mendapatnya, sama seperti orang yang Kami kurniakan menikmati kesenangan hidup di dunia kemudian dia pada hari kiamat termasuk dalam golongan yang dibawa (untuk menerima azab neraka)?" (al-Qasas : 61)
Jadi, tidak mengapa! tidak mengapa jika hidup di dunia ALLAH sudah tetapkan serba kekurangan dan akhirat kelak mendapat syurga. Dari hidup tidak redha dengan ketentuan yang ALLAH telah tetapkan dan hidup dalam keadaan azab resah, gelisah, gundah gulana, terbelenggu dek kerana kempunankan kemewahan dunia.
"Bersusah-susah kerana akhirat adalah susah yang tidak menyusahkan."
Mari sama-sama kita betulkan semula visi dan misi kita adalah hanya ingin mendapatkan redha ALLAH semata. Buat baik dan berjuang untuk agama-NYA. Semoga peroleh pengakhiran yang baik.
DUNIA? Rasullullah SAW sangat-sangat berpesan agar umatnya tidak mengejar dunia. Bukan apa, fitnahnya sangatlah dasyat. Sukar bagi kita nak berpegang pada dunia tanpa menyimpannya dalam hati.
Ada sabdaan Nabi SAW, "Adakah ada dalam kalangan kamu seorang yang boleh berjalan di atas air sedangkan kakinya tidak basah kerana air itu?" Para sahabat RA menjawab, "Tiada sesiapa pun dalam kalangan kami yang bole melakukan demikian." Baginda SAW berkata "Demikianlah keadaan ahli dunia. Sangat susah untuk mengelakkan diri daripada kekeruhannya." Inilah yang kita dapat saksikan. Bakhil, hasad, takabbur, ujub, dendam, riyak, berbangga-bangga dan lain-lain penyakit hati serta banyaknya dosa lain yang sering dihadapi dengan begitu cepat lantaran harta.
(petikan dari Syaikh ul-hadis Hadrat Maulana Muhammad Zakariyya Kandhalawi rahimauhullah dalam kitab Fadilat Sedekah bab zuhud.)
Dunia itu bagaikan ular berbisa, lembut sentuhannya tetapi boleh mematikan.
Akhir sekali, saya dengan rendah diri memohon maaf jika penulisan ini menyinggung mana-mana yang membaca. Saya menulis untuk peringatan diri sendiri, memandang dosa diri sendiri bukan orang lain diluar sana. Semoga kita semua peroleh hidayah-NYA.